PUTRAJAYA: Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini mengumumkan bahawa Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban bagi seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Rabu, 27 Mei 2026.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, penetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta persetujuan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja turut mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1447 Hijrah jatuh pada Isnin, 18 Mei 2026.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1447 Hijrah ialah pada 18 Mei 2026 Masihi.
“Oleh yang demikian, Hari Raya Korban, 10 Zulhijah bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Rabu, 27 Mei 2026 Masihi,” menurut kenyataan itu.
Pengumuman tersebut dikeluarkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di Kuala Lumpur menerusi Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia.
Baca juga:








