KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menutup kempen di Velodrom Izu, Shizuoka dengan penuh bergaya apabila meraih pingat perak dalam acara keirin pada Piala Trek Jepun 2.
Kejayaan itu melengkapkan pencapaian beliau selepas membawa pulang gangsa dalam siri pertama acara sama, Jumaat lalu.
Digelar The Pocket Rocketman, Azizulhasni menamatkan perlumbaan di belakang pelumba tuan rumah, Shinji Nakano, manakala Shoichi Ona turut melengkapkan podium di tempat ketiga.
Kaiya Ota, pemenang emas siri pertama, pada asalnya menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua namun disingkirkan akibat kesalahan teknikal.
Rakan sepasukan negara, Shah Firdaus Sahrom yang sebelum ini meraih perak pada siri pertama, kali ini sekadar menamatkan saingan di tempat kesembilan dalam penentuan kedudukan ketujuh hingga ke-12.
Dalam kategori wanita, Nurul Izzah Izzati Asri dan Alyssa Farid beraksi dalam perlumbaan penentuan tempat ketujuh hingga ke-12 selepas gagal mara ke final.
Nurul Izzah, yang meraih gangsa pada siri pertama, menamatkan saingan di tempat ketujuh manakala Alyssa di kedudukan ke-10.
Azizulhasni turut menzahirkan penghargaan kepada penyokong yang hadir memberikan semangat sepanjang kejohanan, sambil menyifatkan saingan di Jepun sebagai persiapan penting menuju temasya utama akan datang.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyokong-penyokong Malaysia yang datang memberikan sokongan kepada kami semalam (Ahad).
“Tidak lupa juga penyokong-penyokong tempatan yang turut sama memberikan semangat kepada kami semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.







