Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kerajaan Madani kekal tegas dalam melindungi keselamatan dan kedaulatan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kerajaan turut memastikan bahawa negara mempunyai pengurusan pelarian yang dilaksanakan secara lebih tersusun, terkawal dan berasaskan prinsip kemanusiaan.
“Kerajaan Madani terus komited memastikan pengurusan pelarian dan pemohon suaka di negara ini dilaksanakan secara lebih tersusun, terkawal dan berperikemanusiaan tanpa menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya di Facebook pada lewat Isnin.

Saifuddin turut memaklumkan bahawa seramai 4,010 tahanan telah didaftarkan melalui Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi memperkukuh pemantauan, penguatkuasaan serta pengurusan berasaskan data yang lebih sistematik dan sahih.
“Program ini turut memastikan sebarang sokongan sosial diberikan secara terkawal serta tidak menyamai hak dan keistimewaan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Justeru katanya lagi, pengurusan akhir pelarian hanya melibatkan penghantaran pulang ke negara asal, penempatan ke negara ketiga atau pengusiran sekiranya melanggar undang-undang negara.
Baca juga:








