Trump Menang Saman, DOJ Tubuh Dana RM8.4 Bilion

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, meraih kemenangan besar apabila Jabatan Kehakiman (DOJ) bersetuju menubuhkan sebuah dana khas bernilai AS$1.776 bilion (RM8.4 bilion) yang dinamakan ‘Anti-Weaponization Fund’.

Memetik laporan Time, dana itu diwujudkan sebagai sebahagian daripada penyelesaian saman AS$10 bilion Trump terhadap I.R.S. berhubung kebocoran fail cukai beliau.

Melalui perjanjian itu, Trump, anak-anaknya Donald Trump Jr. dan Eric Trump serta Trump Organization akan menerima permohonan maaf rasmi, namun tiada bayaran ganti rugi langsung.

Sebaliknya, dana tersebut akan memberi peluang kepada individu lain yang mendakwa menjadi mangsa ‘weaponisasi’ dan ‘lawfare’ untuk menuntut pampasan kewangan atau permohonan maaf rasmi.

“Mesin kerajaan tidak seharusnya digunakan sebagai senjata terhadap mana-mana rakyat Amerika.

“Jabatan ini berhasrat memperbetulkan kesilapan lalu dan memastikan ia tidak berulang,” kata Pemangku Peguam Negara, Todd Blanche.

Dilaporkan, dana itu akan disalurkan melalui Judgment Fund, di mana peruntukan tetap Perbendaharaan AS bagi membayar penyelesaian undang-undang terhadap Kerajaan Persekutuan.

Sebuah komisen lima anggota akan ditubuhkan untuk menguruskan dana tersebut dengan seorang ahli dipilih melalui rundingan bersama kepimpinan Kongres.

Komisen itu diberi kuasa untuk mengeluarkan pampasan kewangan atau permohonan maaf rasmi kepada pemohon.

DOJ berkata, proses tuntutan adalah sukarela dan tidak mempunyai syarat partisan.

Katanya, semua tuntutan mesti diproses sebelum 15 Disember 2028 dan baki dana selepas tarikh itu akan dikembalikan kepada Kerajaan Persekutuan.

Anda Mungkin Berminat