Hak Bumiputera Akan Dipertahan – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan hak keistimewaan Bumiputera selagi diberi amanah, meskipun berdepan kritikan daripada pihak tertentu yang didakwa memperlekeh peranan agensi itu.

Beliau menyelar tindakan seorang individu di Facebook yang mempersoalkan usaha MARA termasuk rancangan memprofesionalkan golongan Huffaz serta mempertikaikan keperluan mengekalkan hak istimewa orang Melayu.

“Mulanya saya malas nak jawab, tapi sudah beberapa kali beliau memperlekeh dan menafikan peranan MARA termasuk memandang rendah perancangan MARA untuk memprofesionalkan golongan Huffaz,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

Asyraf berkata, kewujudan MARA adalah sebahagian daripada kerangka Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak keistimewaan orang Melayu dan peribumi Sabah serta Sarawak.

“Minta maaf, selagi saya diberikan amanah sebagai Pengerusi MARA, hak keistimewaan orang Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak akan tetap dipertahankan sebagaimana termaktub dalam Perkara 153,” tegasnya.

Beliau berkata, kejayaan individu atau program tidak bermakna jurang sosioekonomi telah tertutup, sebaliknya masih wujud perbezaan ketara dari segi kekayaan, akses pendidikan, jaringan perniagaan dan peluang ekonomi.

“Dasar keistimewaan bukan bertujuan membuktikan mana-mana kaum tidak mampu bersaing.

“Ia bagi memastikan persaingan yang lebih seimbang dalam jangka panjang serta mempercepat penyertaan Bumiputera dalam pelbagai sektor ekonomi,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat