SEPANG: Malaysia akan membawa isu pencabulan undang-undang antarabangsa oleh rejim Israel terhadap peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke peringkat mahkamah antarabangsa.
Ketua Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza yang juga delegasi GSF 2.0, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan itu susulan insiden penculikan, serangan serta rampasan bantuan kemanusiaan dan kapal flotila di perairan antarabangsa.
Menurut beliau, ia turut membabitkan dakwaan penyeksaan, keganasan dan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap aktivis Malaysia ketika berada dalam tahanan.
Katanya, langkah tersebut juga bertujuan meningkatkan tekanan diplomatik terhadap pihak berkuasa Israel.
“Kali ini tekanan yang diberikan kepada mereka bukan perkara mudah. Ia bukan sekadar tekanan psikologi atau ancaman ketakutan oleh rejim Zionis, malah melibatkan tindakan fizikal.
“Insya-Allah Malaysia tidak akan berdiam diri. Kita menuntut rakyat Malaysia terus bersuara kerana kedaulatan negara, warga kita dan keluarga kita telah dicabuli demi mempertahankan kemanusiaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Datuk Abdul Alim Araby berkata, pihak guaman Sumud Nusantara bersama CENTHRA telah mengumpulkan bukti pencabulan undang-undang antarabangsa oleh Israel di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.
Beliau berkata, bukti berkenaan termasuk dakwaan penganiayaan dan kekerasan terhadap aktivis ketika dalam tahanan yang akan difailkan serta dibawa ke perhatian Ketua Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Baca juga:








