Anwar Agih 260 Ekor Lembu Korban MADANI Di Permatang Pauh

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyempurnakan agihan sebanyak 260 ekor lembu korban MADANI kepada masyarakat di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir, sempena sambutan Aidiladha.

Dalam ucapannya, Anwar berkata, ibadah korban dan haji tidak pernah terpisah daripada makna pengorbanan, ketabahan serta kepatuhan mutlak kepada Allah SWT, sebagaimana dirakamkan dalam kisah agung Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s.

“Dari pengorbanan itulah lahirnya nilai ihsan, kesabaran dan kekuatan jiwa dalam menghadapi bala’, ujian serta krisis kehidupan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa perjuangan membela nasib rakyat dan menegakkan keadilan tidak pernah sunyi daripada cabaran.

“Maka perjuangan membela nasib rakyat, menegakkan keadilan dan mempertahankan nilai kemanusiaan tidak pernah sunyi daripada cabaran dan pengorbanan,” katanya.

Anwar juga berkongsi kisah Malcolm X yang menemukan makna persaudaraan sejati ketika menunaikan haji di Makkah, di mana beliau melihat manusia pelbagai bangsa dan warna kulit berhimpun sebagai satu umat tanpa tembok perkauman dan kebencian.

Selain itu, beliau merujuk karya Snouck Hurgronje yang mengkaji masyarakat Islam di Jawa dan Aceh pada zaman penjajahan Belanda, yang menekankan bahawa umat Islam hanya akan dihormati apabila kuat dari sudut ilmu, akhlak, ekonomi, perpaduan dan kepimpinan.

“Aidiladha harus mengajar kita bahawa kekuatan umat dan negara tidak dibina atas kebencian dan perpecahan tetapi melalui pengorbanan, kesatuan hati dan kesediaan memikul amanah demi rakyat serta tanah air tercinta,” katanya.

Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap ikhtiar dan bantuan benar-benar sampai kepada rakyat dengan semangat ihsan dan kemanusiaan.

“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap ikhtiar dan bantuan benar-benar sampai kepada rakyat dengan semangat ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras perjuangan ini,” tegasnya.

Anda Mungkin Berminat