KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren Rapid KL di Laluan Ampang/Sri Petaling mengalami gangguan pagi ini selepas berlaku kerosakan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin, menyebabkan sebuah tren tidak dapat bergerak dan jadual perjalanan terganggu.
Menurut kenyataan Rapid KL, seramai 25 penumpang yang berada di dalam tren berkenaan telah dipindahkan dengan selamat mengikut prosedur operasi.
“Pasukan teknikal kini berada di lokasi untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan bagi memulihkan operasi secepat mungkin,” kata kenyataan itu.
Bagi memastikan perjalanan penumpang tidak terjejas, Rapid KL telah mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara ulang-alik.
Antara laluan yang terlibat termasuk tren dari Stesen Sentul Timur yang berpatah balik di Stesen Pudu serta tren perantara di antara Stesen Cheras dan Stesen Bandar Tasik Selatan di Platform 1.
Bas perantara percuma turut disediakan antara Stesen Pudu dan Stesen Pandan Jaya.
Rapid KL turut menasihatkan penumpang yang ingin menuju ke pusat bandar supaya menggunakan Laluan Putrajaya dengan membuat pertukaran tren di Stesen Sungai Besi.
“Penumpang dinasihatkan untuk mematuhi arahan petugas stesen sepanjang gangguan ini,” tambah kenyataan itu.
Maklumat terkini mengenai status perkhidmatan akan dikemas kini dari semasa ke semasa melalui saluran media sosial Rapid KL serta aplikasi MyRapid PULSE.








