Kerajaan Isytihar 2 Jun Sebagai Hari TVET Negara

PUTRAJAYA: Kerajaan mengisytiharkan 2 Jun setiap tahun sebagai Hari TVET Negara bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) dalam membina masa depan Malaysia yang lebih progresif, berdaya saing dan berteraskan kemahiran.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sambutan Hari TVET Negara 2026 akan berlangsung di Dataran Putrajaya dari 5 hingga 7 Jun dengan pelbagai pengisian menarik melibatkan institusi pendidikan, pemain industri, usahawan, belia dan masyarakat umum.

Antara aktiviti yang dijadualkan termasuk pameran teknologi dan inovasi, Karnival Kerjaya TVET, seminar industri berimpak tinggi, cabaran robotik dan Drone Soccer, Future Skills Showcase serta platform keusahawanan TVET, selain aktiviti santai dan interaktif untuk seisi keluarga.

“Sambutan itu bukan sekadar acara tahunan tetapi medan memperkukuh ‘kerjasama strategik antara institusi TVET dan industri bagi memastikan bakat yang dilahirkan benar-benar memenuhi keperluan pasaran kerja semasa, berdaya saing dan berteraskan teknologi, inovasi serta kemahiran selaras dengan keperluan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat 1,398 institusi TVET di seluruh negara, menjadikan bidang itu nadi utama pembangunan negara.

Pada tahun 2025, seramai 229,121 pelajar atau 56.86 peratus lepasan SPM dan setaraf memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang TVET, menjadikan jumlah keseluruhan enrolmen mencecah 459,558 orang.

“Kadar kebolehpasaran graduan TVET negara turut meningkat kepada 95.9 peratus pada tahun 2025 berbanding 95.6 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan bahawa TVET bukan sahaja mendapat tempat dalam kalangan generasi muda, malah berjaya melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan industri dan ekonomi negara.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, usaha berterusan itu akan memastikan TVET menjadi pilihan utama kerjaya bagi generasi masa depan.

Anda Mungkin Berminat