KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa Belanjawan 2027 bakal memberi penekanan lebih besar terhadap langkah penjimatan susulan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, pendekatan itu turut mengambil kira kesan rantaian konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran yang memberi impak kepada ekonomi dunia termasuk Malaysia.
Beliau berkata, semua kementerian telah diingatkan supaya memperincikan langkah penjimatan serta meninggalkan budaya kerja secara silo demi memastikan pengurusan kewangan negara lebih cekap dan berkesan.
“Serangan ini menyebabkan masalah ekonomi dan kita juga menerima tempiasnya. Jadi jangan ambil mudah atau sambil lewa.
“Apabila saya mahu membuat keputusan, saya minta semua kementerian termasuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi melihat ruang penjimatan.
“Walau apa pun rayuan dibuat, pengurangan belanjawan tetap perlu kerana mustahil tiada ruang penjimatan dalam peruntukan RM20 bilion. Banyak bidang boleh dijimatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan dan Timbalannya, Fadhlina Sidek dan Wong Kah Woh.








