Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Penamatan tayangan filem Konspirasi di seluruh negara mulai 28 Mei 2026 adalah atas permintaan penerbit sendiri dan tidak melibatkan sebarang arahan daripada mana-mana pihak mahupun Kerajaan Madani.
Menerusi kenyataan media Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada Jumaat, pihaknya menerima maklumat berhubung perkara tersebut hari ini daripada Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) serta Media Prima Berhad selaku pengedar filem yang berurusan dengan pihak pemamer iaitu pawagam.
“Berdasarkan emel daripada pihak penerbit yang dikongsikan kepada FINAS, penerbit filem tersebut, Elepfilm Entertainment Sdn. Bhd., telah meminta supaya tayangan filem Konspirasi ditamatkan bermula pada tarikh berkenaan,” katanya.
Difahamkan hasil semakan FINAS bersama pengedar dan pemamer filem mendapati, penamatan tayangan tersebut adalah atas permintaan penerbit sendiri dan tidak melibatkan sebarang arahan daripada mana-mana pihak.
FINAS mengesahkan bahawa filem Konspirasi telah memperoleh kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) sebelum diberikan kelulusan di bawah Skim Wajib Tayang pada 14 Mei 2026. Filem tersebut mula ditayangkan pada 21 Mei 2026 di
120 skrin pawagam seluruh negara.
Sehubungan itu, FINAS menghubungi penerbit bagi mendapatkan penjelasan dan maklumat lanjut berhubung keputusan penamatan tayangan tersebut.
Namun katanya, sehingga kini penerbit masih belum dapat dihubungi meskipun beberapa usaha telah dilakukan.
FINAS akan terus mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkaitan dan akan memaklumkan sebarang perkembangan dari masa ke semasa.
Baca juga:








