Aura Naykilla tak terbendung, Zepp KL jadi pentas Gen Z

Oleh: Tyah Helmi

BUKAN sekadar fenomena media sosial, penyanyi muda Indonesia Naykilla sekali lagi membuktikan aura penghiburnya yang memukau perhatian hampir 2,000 penonton sepanjang persembahan berlangsung.

Naykilla Centyl in My Playground yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini menjadi pesta muda mudi apabila lagu Bahasa Tubuhmu dimainkan sebelum meneruskan momentum dengan lagu cover Open Arms nyanyian asal SZA yang diberikan sentuhan hipdut dan Rnb Moden.

Penyanyi yang berasal dari Surabaya itu turut mempersembahkan beberapa lagu lain termasuk Skip Dulu Ah bersama RYO, Keong Racun, Cinta Satu Malam x We Can’t Be Friends, Geleng Geleng bersama Yung Caters, Sayonara, Cenat Cenut bersama Sophia Razak, MSG (Melayu Swag Giler), Raga, MMG, Satu Cinta di Udara, Garam dan Madu, SO ASU serta Kasih Aba Aba yang menjadi penutup konsert malam itu.

Selain Naykilla, pentas turut dihangatkan dengan persembahan artis jemputan seperti RYO menerusi lagu Tantrum, Sama Kamu Cuma Kamu (SKCK), 1/10 dan Cuma Teman, manakala Yung Caters pula tampil dengan lagu I Heart You x Baby, Bandung City (UOO), Stay dan Rumah.

Kemunculan penyanyi lokal negara, Sophia Razak menerusi lagu Cenat Cenut, MSG dan Baddie Melayu Terakhir turut mendapat sorakan penonton yang memenuhi ruang Zepp Kuala Lumpur.

Sepanjang hampir dua jam persembahan berlangsung, Naykilla berjaya mencipta suasana bertenaga dengan aksi pentas yang lincah, interaksi spontan bersama peminat serta susunan muzik yang membuatkan penonton terus menyanyi dan menari tanpa henti.

Malah, ada dalam kalangan peminat menyifatkan Naykilla sebagai “biduan Gen Z” kerana berjaya membawa elemen muzik moden, budaya internet dan estetika anak muda ke dalam sebuah persembahan berskala besar.

Momen paling dinanti-nantikan malam itu tentunya ketika Naykilla menyampaikan lagu Garam dan Madu yang pernah tular di TikTok dan menjadi antara karya paling popular dalam kalangan generasi muda.

Sebelum lagu tersebut dipersembahkan, Naykilla sempat berkongsi kisah perjalanan awal kariernya termasuk pengalaman meminjam wang daripada rakan semata-mata mahu memasuki studio rakaman.

Walaupun terdapat beberapa segmen yang sedikit panjang ketika persembahan artis jemputan, tenaga dan karisma Naykilla berjaya memastikan keseluruhan konsert terus hidup sehingga penghujung acara.

Dianjurkan oleh Icon Entertainment, peminat turut sporting dengan penampilan fesyen ala Y2K grunge, jaket oversized, skirt bertingkat, stokin belang serta solekan edgy yang cukup sinonim dengan identiti muzik penyanyi berusia 23 tahun itu.

Konsert tersebut turut diperkukuhkan dengan tata rias pentas berwarna-warni, permainan lampu serta dekorasi visual yang melengkapkan identiti muzik Naykilla yang eksperimental dan penuh karakter.

Secara keseluruhannya, Naykilla Centyl in My Playground bukan sekadar konsert biasa, tetapi sebuah pesta gala muzik anak muda yang meraikan kebebasan berekspresi dan identiti generasi baharu.

Dengan sambutan memberangsangkan yang diterima di Kuala Lumpur, Naykilla dilihat berpotensi untuk terus mengukuhkan namanya sebagai antara figura muzik muda serantau yang semakin mendapat perhatian.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat