IPOH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih, dekat sini sejak 23 Mei lalu kini memasuki hari keenam.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, operasi ketika ini melibatkan kira-kira 50 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat.
Tambahan lapan anggota baharu telah digerakkan ke puncak gunung pagi tadi bagi membolehkan penggiliran pasukan serta memperkukuh operasi pencarian di kawasan tumpuan.
“Setakat ini, belum ada keputusan untuk menghentikan operasi dan pencarian masih diteruskan,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Menurut kenyataan itu lagi, operasi SAR dilaksanakan secara berterusan dengan tumpuan kepada kawasan cerun curam, alur air dan laluan pendakian yang berisiko.
Terdahulu, Jaslinda bersama 13 pendaki lain serta dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian laluan Trans Spencer Chapman pada 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung–Gunung Bah Gading–Gunung Batu Putih–Kuala Woh.
Dalam kejadian itu, Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan sebelum berhenti, namun mangsa kemudian meneruskan pendakian ke puncak.
Kali terakhir Jaslinda dilihat oleh MGP adalah pada 24 Mei sekitar jam 7.30 pagi sebelum operasi SAR dilancarkan pada hari sama sebaik laporan diterima.
Baca juga:








