PADANG BESAR: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti cadangan untuk memperketatkan tindakan undang-undang terhadap kegiatan mencuri kabel landasan kereta api yang dilihat semakin menjejaskan operasi perkhidmatan rel dan keselamatan awam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengkaji bentuk hukuman yang lebih tegas terhadap pelaku jenayah tersebut.
Menurut beliau, kes kecurian kabel tidak boleh dianggap sebagai jenayah biasa kerana impaknya jauh lebih besar berbanding kerugian harta benda semata-mata.
“Kita telah berbincang dengan KDN untuk memperketatkan undang-undang berkaitan kes kecurian kabel ini.
“Ia tidak boleh dilihat sebagai kes kecurian biasa kerana bukan sahaja menjejaskan kelancaran perkhidmatan rel, malah boleh mengundang risiko terhadap keselamatan orang ramai,” katanya, seperti dipetik akhbar tempatan.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin–Perlis Inland Port (PIP) di sini, hari ini.
Anthony berkata, kegiatan kecurian kabel sebelum ini telah menyebabkan beberapa gangguan kepada operasi KTM Komuter dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), khususnya di kawasan utara Semenanjung.
Selain memperkukuh aspek perundangan, katanya, kementerian turut meneliti penggunaan teknologi pemantauan yang lebih canggih oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Perbadanan Aset Kereta Api bagi mengesan serta mencegah kegiatan jenayah tersebut.
Baca juga:








