Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kawasan Tun Razak Exchange (TRX) tidak pernah diberikan lesen atau kelulusan untuk beroperasi sebagai terminal sah bagi perkhidmatan bas ekspres, kata Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Dalam kenyataan media pada Selasa, APAD berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen kepada mana-mana pengendali untuk menjalankan aktiviti menaik dan menurunkan penumpang di kawasan tersebut, meskipun operasi berkenaan pernah berlangsung untuk suatu tempoh tertentu.
“Tempoh sesuatu operasi dijalankan di sesuatu lokasi tidak menjadikannya terminal yang diiktiraf atau diluluskan oleh APAD.
“Tambahan pula, pihak TRX juga tidak pernah mengemukakan permohonan kepada APAD untuk mengendalikan terminal bas di kawasannya,” kata agensi itu.
Isu itu mula timbul tahun lalu apabila sebuah pengendali bas ekspres diarahkan supaya mematuhi peraturan dengan beroperasi di terminal yang dilesenkan kerajaan.
Menurut APAD, arahan tersebut adalah sebahagian daripada usaha memperkemas operasi bas ekspres di seluruh negara agar lebih teratur, selamat dan mematuhi undang-undang.
Kerajaan sebelum ini turut memberikan moratorium penguatkuasaan sebagai langkah peralihan selepas pengendali terbabit kehilangan lokasi operasi susulan penamatan kerjasama di Hotel Corus KLCC pada Januari lalu.
Namun, selepas hampir lima bulan tempoh peralihan diberikan, pengendali itu didakwa masih gagal berpindah ke mana-mana terminal sah.
Sehubungan itu, APAD mula melaksanakan penguatkuasaan pada 19 Mei lalu terhadap aktiviti menaik dan menurunkan penumpang di lokasi yang tidak mempunyai lesen sah.
Agensi tersebut menegaskan tindakan berkenaan tidak disasarkan kepada mana-mana syarikat secara khusus sebaliknya terpakai kepada semua pengendali bas ekspres tanpa pengecualian.
Menurut APAD, dasar itu dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan penumpang, mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar serta memastikan penggunaan infrastruktur pengangkutan awam secara lebih teratur dan bersepadu.
Bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan khususnya bagi laluan antarabangsa ke Singapura, APAD memaklumkan beberapa lokasi telah diluluskan sebagai hab pengangkutan sah termasuk Lalaport, IOI City Mall Putrajaya dan 1 Utama, selain terminal bersepadu sedia ada seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan Terminal Bersepadu Gombak (TBG).
“Pemusatan operasi bas ekspres di terminal dan hab pengangkutan yang diluluskan mampu memberi manfaat jangka panjang kepada industri serta pengguna melalui perkhidmatan yang lebih selamat, cekap dan tersusun,” kata APAD.








