Sampai bila Selayang nak jadi Pasar Bangla, Rohingya?

SATU video yang tular di aplikasi Thread memaparkan suasana perniagaan di sekitar Pasar Borong Selayang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, termasuk dakwaan mengenai kehadiran ramai peniaga warga asing di kawasan berkenaan.

Menerusi satu hantaran oleh pengguna dikenali sebagai @ridzwan2025, video tersebut memaparkan deretan gerai dan aktiviti perniagaan yang didakwa dikendalikan oleh warga Rohingya dan Bangladesh.

Hantaran itu turut disertakan dengan kapsyen yang meluahkan kebimbangan terhadap perubahan landskap perniagaan di kawasan berkenaan, sekali gus mengundang perdebatan hangat dalam ruangan komen.

Seorang pengguna mendakwa peniaga tempatan sebelum ini pernah berniaga di kawasan tepi jalan sebelum dipindahkan ke dalam pasar yang lebih teratur selepas pembinaan Pasar Borong Selayang baharu.

“Siapa kata Melayu tak mahu berniaga macam ini. Dulu ramai berniaga tepi longkang dan selalu kena saman.

“Bila pasar baharu siap mereka dipindahkan ke dalam pasar, tetapi kawasan luar pula dipenuhi peniaga warga asing,” dakwanya.

Komen itu menerima pelbagai reaksi dengan sebahagian netizen mendakwa isu berkenaan telah berlarutan sejak sekian lama dan menjejaskan peniaga tempatan.

Dalam masa sama, terdapat juga pengguna Thread yang menggesa pihak berkuasa serta wakil rakyat turun padang bagi meneliti situasi sebenar di kawasan berkenaan.

“Wakil rakyat dan pihak berkuasa perlu turun padang tengok sendiri keadaan ini dan ambil tindakan jika ada pelanggaran undang-undang,” tulis seorang pengguna.

Seorang lagi netizen meluahkan rasa kecewa dengan mendakwa isu berkenaan sering dibangkitkan namun masih belum menemui penyelesaian yang memuaskan.

Bagaimanapun, setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung dakwaan yang tular di media sosial tersebut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat