Agong Berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-Panji

Agong Berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-Panji

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara sempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda.

Keberangkatan tiba pada jam 8.45 pagi disambut dengan lagu Negaraku serta 21 das tembakan kehormatan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat).

Perbarisan bermula 7.50 pagi melibatkan 25 pegawai dan 510 anggota Angkatan Tentera Malaysia daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan.

Seri Paduka Baginda kemudiannya memeriksa perbarisan sebelum disusuli persembahan Pancaragam Pusat ATM yang memainkan lagu-lagu patriotik.

Cuaca hujan renyai dengan suhu sekitar 26 darjah Celsius tidak menjejaskan kelancaran istiadat.

Lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong kemudian diarak melibatkan Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Istiadat diakhiri dengan laungan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan serta bacaan doa oleh Ketua Pengarah Agama Markas Tentera Darat.

Turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Sultan Ibrahim berangkat pulang pada jam 9.40 pagi.

Anda Mungkin Berminat