NABATIEH: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Pasukan Interimnya di Lubnan (UNIFIL) mengecam keras serangan udara Israel yang meragut nyawa tiga anggota Angkatan Tentera Lubnan di selatan negara itu termasuk seorang brigadier jeneral dan seorang kapten.
Dalam ciapan yang disiarkan di platform X, UNIFIL menyifatkan serangan tersebut sebagai ‘pelanggaran serius terhadap kedaulatan Lubnan dan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB’, sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta Angkatan Tentera Lubnan.
Resolusi 1701 yang digariskan sejak 2006 menuntut penghentian permusuhan antara Israel dan Hezbollah serta penghormatan terhadap integriti wilayah Lubnan.
Serangan berlaku di jalan Kafr Tebnit–Khirdali, Nabatieh, apabila sebuah kenderaan tentera Lubnan menjadi sasaran peluru berpandu Israel.
Tentera Israel mengakui melancarkan serangan itu dengan alasan kenderaan berkenaan bergerak mencurigakan berhampiran kawasan yang dikenal pasti mempunyai aktiviti Hezbollah.
Namun, tindakan tersebut segera mencetuskan kemarahan kerana ia melibatkan tentera rasmi Lubnan yang tidak terlibat dalam operasi Hezbollah.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, manakala Perdana Menteri, Nawaf Salam menegaskan ia adalah jenayah terhadap Lubnan dan rakyatnya.
Angkatan Tentera Lubnan pula mengutuk tindakan tersebut sebagai ‘barbarik dan agresif’, sambil menegaskan komitmen untuk mempertahankan usaha mencapai gencatan senjata menyeluruh.
Insiden ini berlaku walaupun terdapat gencatan senjata rapuh yang berkuat kuasa sejak April hasil rundingan di Washington.
Dalam masa sama, tentera Israel turut melancarkan serangan udara ke beberapa kampung di selatan Lubnan dan mengeluarkan amaran pemindahan kepada penduduk di lima kampung.
Keadaan ini menimbulkan kebimbangan bahawa konflik boleh kembali memuncak, sekali gus menggugat kestabilan serantau.
UNIFIL memberi amaran bahawa tindakan sebegini boleh menjejaskan usaha damai antarabangsa yang sedang dijalankan dan menekankan bahawa keselamatan serta kedaulatan Lubnan mesti dihormati.








