Rakyat Wajar Beri Peluang Kerajaan MADANI, Anwar Tadbir Hingga Tamat Penggal – AMANAH

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Rakyat sewajarnya memberi peluang kepada Kerajaan MADANI yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menamatkan satu penggal penuh pentadbiran sebelum membuat penilaian pada pilihan raya akan datang, kata Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menurut beliau, kestabilan politik perlu menjadi keutamaan ketika negara berdepan cabaran ekonomi dan geopolitik yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

“Bila Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kita lengkap satu penggal, selepas itu kalau rakyat mahu mengubah kerajaan, itu hak mereka.

“Kalau mahu memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekali lagi pun boleh, kalau mahu memilih gabungan lain pun boleh. Pilihan itu berada di tangan rakyat,” katanya ketika berucap pada pelancaran jentera Pakatan Harapan (PH) di Batu Pahat, Johor pada Sabtu.

Mohamad Sabu berkata, Johor merupakan antara pemacu utama ekonomi negara khususnya melalui sektor pertanian yang memainkan peranan penting dalam keterjaminan makanan Malaysia.

Beliau berkata, sepanjang pentadbiran kerajaan negeri sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, Kerajaan Persekutuan sentiasa memberikan kerjasama penuh dalam aspek pembangunan.

“Apa sahaja peruntukan yang tidak mencukupi, kita bertemu Perdana Menteri untuk memohon bantuan tambahan demi kepentingan rakyat, pembangunan, sektor pertanian dan jaminan bekalan makanan untuk masa kini serta masa depan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat