MELAKA: Seramai 22 warga Rohingya ditahan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka di beberapa lokasi sekitar negeri ini, hari ini.
Menurut kenyataan JPJ Melaka, operasi berkenaan dilaksanakan di Klebang, Kampung Limbongan, Merlimau, Jasin dan Melaka Sentral bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan pemandu warga asing.
“Sebanyak 147 kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi tersebut.
“Daripada jumlah itu, tindakan diambil terhadap 49 kenderaan dan 98 notis dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya.
JPJ turut memaklumkan bahawa 49 kenderaan disita, melibatkan 44 motosikal dan lima motokar atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen memandu yang sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.
“Pemilik kenderaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penggunaan kenderaan masing-masing.
“Memberi kebenaran kepada individu yang tidak memiliki lesen memandu yang sah untuk memandu atau menunggang kenderaan adalah satu kesalahan dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,’ katanya.
JPJ turut menyeru orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak bersubahat dalam sebarang pelanggaran peraturan.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya,” katanya.








