Kumpul data kajian reaksi masyarakat berhubung pembinaan trem moden di Melaka – APAD

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang mendapatkan pandangan dan maklum balas orang ramai berkaitan cadangan pembinaan sistem trem moden di Melaka.

Difahamkan pembinaan tersebut akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat swasta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pandangan dan maklum balas berkenaan penting sebelum keputusan railway scheme dikeluarkan kepada syarikat berkenaan untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan trem dibuat.

“APAD telah membuat paparan umum sebelum railway scheme dikeluarkan, syarikat berkenaan perlu melakukan pemeriksaan awam dan perkara tersebut sedang berlangsung.

“Orang ramai boleh memberi pandangan termasuk kesan terhadap mereka sama ada positif atau negatif kerana APAD akan mengumpul semua pandangan terbabit sebelum railway scheme diluluskan,” katanya lapor Bernama pada Ahad.

Beliau memberi reaksi demikian selepas diminta mengulas pengumuman APAD di platform Facebook rasminya berkaitan cadangan pembinaan sistem trem moden di Melaka oleh Metro Trem Sdn Bhd.

APAD memaklumkan sistem pengangkutan itu melibatkan jajaran kira-kira 20 kilometer dengan 25 hentian termasuk depot yang akan menyambungkan perkhidmatan bas sedia ada, perkhidmatan teksi dan sistem pengangkutan masa hadapan lain.

Mengulas lanjut, Loke berkata pembinaan sistem trem moden itu perlu dilakukan mengikut prosedur dan peraturan sedia ada namun Kementerian Pengangkutan (MoT) bersedia membantu syarikat berkenaan membangunkan sistem pengangkutan baharu di negeri pelancongan itu.

“Di MoT, kalau ada pelaburan daripada pihak swasta yang mendapat sokongan kerajaan negeri dan berlandaskan undang-undang serta peraturan sedia ada, kita tidak ada masalah untuk permudahkan… kalau ada perkara yang baik perlu kita buat sedikit pindaan, kita akan bantu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, MoT juga akan membantu kerajaan negeri Melaka untuk menubuhkan pusat aeroangkasa sekali gus menjadi hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini.

Kata Loke, cadangan penubuhan pusat aeroangkasa itu merupakan satu perancangan yang baik dalam usaha mengoptimumkan semula penggunaan dan fungsi LTAM yang kini tidak mengendalikan penerbangan komersial.

“Cadangan yang melibatkan pelaburan sebuah syarikat dari Itali itu juga tidak memerlukan pelaburan tambahan daripada kerajaan sebaliknya memanfaatkan semula semua fasiliti atau kemudahan sedia ada di LTAM.

“Perkara ini boleh dibincangkan dengan lebih lanjut termasuk melibatkan Malaysia Airports Holdings Bhd kerana (di LTAM) ada landasan, terminal dan kawasan yang luas… jadi kalau ada syarikat yang berminat, MoT tiada masalah,” katanya.

Beliau berkata, usaha membangunkan semula LTAM merupakan sebahagian dasar pengangkutan negara agar hab penerbangan di negeri itu tidak terus terbengkalai selain dapat memberi tambahan pendapatan kepada kerajaan negeri menerusi pelaburan industri baharu ke Melaka.

Pada 30 November lalu, media melaporkan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pusat aeroangkasa dicadang ditubuhkan di LTAM hasil misi pelaburan kerajaan negeri ke luar negara, sebelum ini.

Ab Rauf dilaporkan berkata, kerajaan negeri telah mengadakan pertemuan dengan sebuah syarikat dari Itali yang memiliki 15 aset helikopter di Malaysia untuk menjadikan LTAM sebagai lokasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat. 

Anda Mungkin Berminat