“Tiada orang paksa…” – Rozi Mamat tegas Ahmad Said letak jawatan atas kerelaan sendiri

Tindakan Datuk Seri Dr Ahmad Said meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu minggu lalu dilakukan dengan kerelaan hati tanpa dipaksa.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu yang baharu, Datuk Rozi Mamat berkata, tindakan Ahmad yang juga bekas Menteri Besar itu dilakukan atas dasar tanggungjawabnya bagi memberi laluan dan nafas baharu kepada parti itu.

“Tidak ada orang paksa, dia dilakukan atas dasar tanggungjawab dia (dan) dia memberi ruang dan peluang kepada saya untuk meneruskan kesinambungan ini,” katanya lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Penyerahan Tugas PBPUNT di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Terengganu di Kuala Terengganu.

Rozi yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong sekali lagi menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Ahmad yang menerajui UMNO Terengganu selama ini.

Katanya, bukan suatu perkara yang mudah untukmemimpin UMNO terutama dalam keadaan tidak menjadi kerajaan namun bekas ADUN Kijal itu menjalankan tugas dengan sebaiknya.

“Memimpin UMNO dalam keadaan kalah, ini bukan satu kerja yang mudah (tetapi) beliaumenjalankan tugas dengan baik walaupun kita masih ditolak oleh rakyat.

“Terima kasih juga kepada Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang memberi kepercayaan kepada saya untuk memegang jawatan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Rozi turut memaklumkan akan berlaku sedikit rombakan dalam UMNO Terengganu susulan perletakan jawatan Ahmad termasuk jawatan Setiausaha UMNO yang disandang beliau sebelum ini.

Katanya, perkara itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat selepas perbincangan diadakanbersama semua ahli jawatankuasa UMNO negeri.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat