Universal Music Malaysia memaklumkan pihaknya sudah mengadakan rundingan dengan Media Prima berhubung lagu Astana nyanyian Ernie Zakri yang layak ke Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38) akan dinyanyikan oleh penyanyi lain iaitu Nadeera.
Dalam satu kenyataan, Universal Music Malaysia berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Pengerusi RIM, Rosmin Hashim memaklumkan sesi dialog sudah dibuat membabitkan semua pihak sejak Ogos lalu. Namun, tidak dapat mencapai penyelesaian yang memuaskan.
“Banyak ahli kami yang terdiri dari syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa tidak mencalonkan rakaman lagu artis mereka dalam program Muzik Muzik tahun ini kerana tidak bersetuju dengan klausa tertentu dalam borang pencalonan lagu program itu.
“Walaubagaimanapun, sehingga kini, kami masih belum dapat penyelesaian yang memuaskan sepenuhnya berhubung perkara ini dan berharap dapat mencapainya dengan segera untuk klausa dan isu berkenaan,” katanya pada Khamis.
Sementara itu, pelantun lagu tersebut, Ernie Zakri menafikan kenyataan dalam hantaran yang dimuat naik di medie sosial Rocketfuel Entertainment, mengatakan dirinya menarik diri daripada menyanyikan lagu terbabit.
Tegas Ernie atau nama lengkapnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan mahu menarik diri atau enggan mempersembahkan lagu tersebut di acara yang berlangsung di stesen televisyen, TV3 itu.
“Saya adalah penyanyi asal dan komposer lagu ini. Sudah tentu saya nak menyanyikan lagu ini. Malah, tidak pernah cakap saya tak nak nyanyi atau tarik diri.”
“Namun, disebabkan terdapat beberapa terma perbincangan yang belum selesai antara pihak RIM dan MPB, ia menjadi penghalang untuk saya mempersembahkan lagu ini pada Separuh Akhir Muzik Muzik 38,” katanya.
Bagaimanapun, Ernie tetap menyatakan sokongan dan sentiasa mematuhi prosedur label antarabangsa, Universal Music Malaysia dan menghormati pendirian kedua-dua persatuan RIM dan MPA.
Sebelum ini, nama Nadeera diumumkan sebagai pengganti Ernie bagi menyanyikan lagu Astana.
Perkara itu dinyatakan menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Rocketfuel di Instagram yang mengatakan keputusan tersebut dibuat atas persetujuan Ernie.
Untuk rekod, Ernie sebelum ini merupakan artis di bawah pengurusan rakaman Rocketfuel Entertainment sebelum berpindah kepada Universal Music Malaysia pada Julai lalu.
Baca juga: