Kerajaan beri subsidi pembelian tiket kapal terbang tiga hari sebelum perayaan ke Sabah dan Sarawak

Kerajaan mengumumkan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sempena musim perayaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bantuan subsidi itu dimulakan untuk pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi yang melebihi RM599 sehala, tiga hari sebelum Perayaan Krismas iaitu 22, 23, dan 24 Disember 2023.

“Tiket penerbangan yang berharga kurang daripada RM599 bagi laluan-laluan berkenaan akan dijual pada harga asal yang telah ditetapkan oleh syarikat-syarikat penerbangan.

“Manakala, bagi tiket penerbangan kelas ekonomi yang melebihi RM599 pula, kerajaan akan membayar perbezaan harga antara harga asal tiket penerbangan dan harga maksimum tersebut,” katanya pada sidang media sempena pengumuman Bantuan Subsidi Tiket Penerbangan di Putrajaya pada Jumaat.

Loke berkata, bantuan subsidi itu dipersetujui sebulat suara oleh Jemaah Menteri pada 13 Disember lalu ekoran keluhan tentang harga tiket kapal terbang yang tinggi sebelum musim perayaan terutama bagi rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan yang menetap, bekerja dan belajar di Semenanjung.

Menurut beliau lagi, dasar sama akan diteruskan pada tahun 2024 di mana subsidi akan diberi untuk tiga hari perjalanan sebelum tarikh sambutan perayaan termasuk Tahun Baru China, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Keamatan, Hari Gawai dan Krismas.

“Harga tiket penerbangan kelas ekonomi sehala yang disubsidikan ini tidak termasuk cukai dan fi.

“Pelaksanaan inisiatif bantuan pembelian tiket penerbangan untuk perayaan Krismas tahun 2023 akan dilaksanakan bermula 16 Disember 2023,” katanya.

Manakala pelaksanaan inisiatif yang sama bagi perayaan-perayaan lain pada tahun 2024 iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Perayaan Krismas akan bermula 1 Januari 2024.

Mulai tarikh tersebut, orang ramai boleh membeli tiket penerbangan melalui laman sesawang syarikat-syarikat penerbangan domestik iaitu AirAsia, Firefly, Malaysia Airlines Berhad dan Batik Air.

Baca lagi:

Anda Mungkin Berminat