Dianggarkan seramai 31 anggota dan pegawai polis di Kuala Lumpur akan dibuang kerja atas pelbagai kesalahan sejak Januari hingga November lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid.
Katanya, jumlah yang dikenakan tindakan tegas itu bagaimanapun berkurang 41 pegawai dan anggota polis yang dibuang kerja dalam tempoh sama tahun lalu.
Allaudeen menasihatkan pegawai dan anggotanya agar sentiasa menjalankan tugas dengan berintegriti kerana mereka bukan sahaja membawa imej sendiri, tetapi juga identiti Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita adalah petugas barisan hadapan berhadapan masyarakat, sangat penting pegawai dan anggota meningkatkan disiplin, laksana tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya memetik Berita Harian.
Berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini hari ini, Allaudeen secara umumnya berpuas hati dengan prestasi kerja anggota dan pegawainya sepanjang tahun ini kerana rata-rata berjaya melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.
Beliau juga memaklumkan, seramai 93 anggota polis Kuala Lumpur dinaikkan pangkat daripada koperal kepada sarjan, manakala 34 lagi dinaikkan pangkat sarjan mejar, sambil mengingatkan mereka bahawa kenaikan pangkat bukanlah suatu kemegahan.
“Ia amanah dan tanggungjawab yang berat untuk dipikul. Justeru, pikullah amanah dan tanggungjawab ini sepenuh hati dan berkhidmatlah dengan profesional serta integriti yang tinggi setiap masa,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar ibu negara menjadi ‘mata’ kepada polis dalam usaha membanteras jenayah, secara tidak langsung mengurangkan kadar jenayah indeks di sekitar ibu negara sebanyak 10 peratus berbanding tahun lalu dan sehingga 40 peratus berbanding 2019.
Allaudeen berkata, ia juga secara tidak langsung menyumbang kepada kadar pertuduhan yang tinggi sehingga mencecah 70 peratus membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur.
“JSJ Kuala Lumpur juga berjaya menyelesaikan 91.52 peratus kertas siasatan bagi tempoh Januari hingga November 2023. Keadaan jenayah terkawal dan boleh dikatakan di sini, kita tidak perlu takut walaupun masih berlaku satu dua kes keseluruhannya, ketakutan kepada jenayah itu sudah turun.
“Kita berjaya selesaikan banyak kes dan kadar pertuduhan kita harap akan capai 70 peratus dalam dua minggu akan datang,” katanya sambil menambah kadar jenayah komersial khususnya penipuan dalam talian terus menjadi agenda utama polis kerana jenayah dalam talian sukar dijejak.
Sementara itu, katanya, keseluruhan petunjuk prestasi utama (KPI) jenayah indeks bagi tempoh 1 Januari hingga 30 November 2023 mencatatkan penurunan sembilan peratus, jenayah harta (8 peratus) dan jenayah kekerasan 12 peratus.
Beliau juga memaklumkan, sebanyak 1,609 serbuan dijalankan membabitkan jenayah siber dan 1,222 serbuan membabitkan jenayah komersial lain dalam tempoh berkenaan yang turut menyaksikan 87 kertas siasatan dibuka membabitkan kes pusat panggilan dengan 1,066 tangkapan dilakukan.
Baca juga: