Aaron Ago, Mohd Na’im kutuk individu jadikan isu perkauman dan agama untuk pecah belah rakyat

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar mengutuk keras tindakan kumpulan yang menggunakan elemen perkauman dan agama bagi mengganggu gugat keharmonian rakyat berbilang kaum.

Perkara itu susulan negara terus menerus dilanda dengan pelbagai insiden berhubung sentiviti agama dan perkauman termasuk kejadian tular di KK Mart, Kuching yang disebabkan oleh individu tidak bertanggungjawab.

Dalam masa sama, kedua-dua menteri berkenaan memberikan amaran tegas kepada kesemua individu agar tidak sama sekali mencetuskan polemik perkauman yang melampau.

Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) yang dirusetiakan oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia akan memanggil mesyuarat tergempar bagi membincangkan situasi itu.

Selain itu, mereka juga mengulangi pendirian dan menggesa agar tidak ada pihak yang mencetuskan perkara menyentuh sensitiviti agama dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, mereka turut menggesa agar semua pemimpin parti politik berhenti memanjangkan isu KK Mart tersebut kerana kenyataan-kenyataan yang berterusan dan melulu akan menyebabkan situasi lebih keruh.

Masyarakat perlu sentiasa memupuk dan mengamalkan nilai-nilai hidup yang merupakan tanggungjawab setiap rakyat bagi melindungi serta mempertahankan kestabilan dan keselamatan negara daripada sebarang ancaman perbalahan, provokasi serta permusuhan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat