‘Abang bas’ mengaku tidak bersalah dua pertuduhan amang seksual

MUAR: Seorang pemandu bas mengaku tidak bersalah selepas didakwa melakukan dua pertuduhan melibatkan amang seksual terhadap kanak-kanak di Mahkamah Sesyen dekat sini, hari ini.

Tertuduh berusia 24 tahun yang turut dikenali sebagai ‘Abang Bas’ dilihat menangis di kandang tertuduh selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan di dalam sebuah bas sekolah di Simpang Renggan pada April hingga September 2024.

Dia didakwa mencium pipi kanak-kanak terbabit yang juga merupakan anak saudaranya yang berusia empat tahun, lapor Astro Awani.

Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun berserta sebat jika disabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual di dalam sebuah bas sekolah dengan alamat yang sama pada bulan ini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan amang seksual bukan fizikal di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Hakim, Sayani Mohd Nor membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh 10 Oktober depan untuk sebutan sebulan kes serta serahan dokumen.

Terdahulu, tular di aplikasi TikTok memaparkan seorang lelaki dipercayai pemandu bas sekolah menggelar seorang penumpangnya yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai ‘crush’ dan ‘kesayangan’.

Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ia tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Anda Mungkin Berminat