Abang Bomba kekal ‘bintang’ perarakan Hari Kebangsaan

Oleh Nadhirah Akmam

PUTRAJAYA: Perarakan anggota bomba dan penyelamat sekali lagi menjadi tumpuan apabila ‘abang bomba’ antara ‘bintang’ dinantikan pada Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya.

Sorakan gemuruh bergema sebaik sahaja pasukan bomba melangkah gagah memasuki dataran, sambil melambaikan tangan dan memperlihatkan ketangkasan fizikal mereka.

Gelagat itu mencetuskan keterujaan pengunjung, khususnya golongan muda yang tidak melepaskan peluang merakam detik bersejarah dengan telefon pintar sambil melambaikan tangan.

“Memang teruja bila abang-abang bomba masuk. Kami menjerit dan sempat rakam video. Mereka pun nampak bersemangat dan kacak,” kata seorang pengunjung, Putri Sofea Zahra Iskandar Putra, 16.

Putri turut meluahkan rasa gembira kerana buat pertama kali dapat menyaksikan acara gilang-gemilang sambutan kemerdekaan negara tercinta.

Selain menonjolkan disiplin dan kekuatan fizikal, kehadiran pasukan bomba turut melambangkan pengorbanan mereka sebagai barisan hadapan yang sentiasa berdepan risiko demi keselamatan rakyat.

Sambutan Merdeka kali ini menampilkan lebih 14,000 peserta termasuk kontinjen beruniform, sektor industri, pendidikan dan persembahan khas bertemakan Malaysia MADANI Rakyat Disantuni.

Sejak sekian lama, pasukan bomba bukan sahaja sinonim dengan misi menyelamat, malah menjadi ikon keberanian rakyat dan pada Merdeka 2025, mereka sekali lagi membuktikan mengapa gelaran ‘abang bomba’ kekal menjadi pujaan ramai.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat