Abang Johari tegas GPS tiada masa layan ‘drama politik’ Langkah Dubai

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berpendapat tindakan dan usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Madani yang digelarkan Langkah Dubai sabagai satu perbuatan sia-sia.

Tegasnya, perkara itu hanya mewujudkan keteganan politik dan akan menjejaskan sektor ekonomi negara termasuk memberi kesan kepada rakyat.

“Langkah Dubai? Ia hanya membuang masa. GPS mengutamakan kestabilan Kerajaan Malaysia kerana kita perlu bersaing dengan negara jiran yang lain (dalam mengukuhkan ekonomi).

“Kalau (politik) Malaysia kelam kabut, siapa yang hendak membawa duit (melabur) di negara kita dan jika tiada pelaburan, peluang pekerjaan (untuk rakyat) juga kurang,” katanya ketika hadir ke tinjauan mesra di Dataran Ibu Pertiwi pada Isnin.

Beliau memberi reaksi demikian ketika mengulas tentang dakwaan wujud Langkah Dubai yang dikatakan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada sekarang.

Beliau turut memberitahu, GPS menyokong Kerajaan Persekutuan sekarang kerana berjaya menstabilkan politik negara selain akan terus memberi tumpuan terhadap peningkatan ekonomi terutama pendapatan negeri Sarawak.

“Apabila saya membaca berita, saya hairan nama saya turut dicalonkan sebagai Perdana Menteri, saya agak terkejut.

“Kita dalam GPS perlu ukur di badan sendiri. Kita dalam Parlimen hanya ada 23 kerusi. Kita tidak mahu sekiranya ada calon PM dalam GPS, mereka akan tekan kita, kita (GPS) bukan paloi (bodoh),” katanya. yang .

Sebelum ini, spekulasi Langkah Dubai timbul susulan perbincangan pemimpin pembangkang dan wakil tertentu kerajaan ketika lawatan mereka ke ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Pertemuan itu didakwa bertujuan membahagikan tugas kepada ‘ejen’ untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan kepada pembangkang bagi membentuk kerajaan baharu.

Beberapa nama dicadangkan untuk menjadi Perdana Menteri termasuk Abang Johari.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat