Abang lori angkut motosikal terkandas banjir dapat pujian netizen

Oleh: Aliyaa Azmi

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori mendapat pujian netizen selepas videonya membantu lebih 10 penunggang motosikal yang terkandas dalam banjir tular di TikTok, meraih lebih 482,000 tontonan dan 340,900 tanda suka.

Dalam rakaman berdurasi 44 saat yang diambil di Pasar Borong Pandan, Johor Bahru, pemandu lori itu dilihat meredah jalan yang dinaiki air sambil membantu penunggang motosikal dengan menaikkan motosikal mereka ke atas lorinya.

Meskipun berdepan banjir, rata-rata penunggang motosikal tetap tersenyum dan menanti dengan penuh sabar meredah banjir untuk pulang ke rumah.

Pengguna TikTok @z_mani0, yang memuat naik video berkenaan, menulis kapsyen: “Dalam duka, ada bahagia,” menggambarkan sisi positif di sebalik musibah.

Tindakan pemandu lori itu mendapat pujian ramai. Seorang pengguna, @luqmanjo97, berseloroh: “Macam lori perarakan Hari Kemerdekaan.”

Pengguna lain, @rosdi.supandi, berkata: “Perbuatan kecil, tetapi memberi makna besar di saat musibah. Syabas pemandu lori!”

Sementara itu, @ynazznllll menyatakan: “Pemandu lori ini layak digelar wira tahun ini. Saya salut kamu!”.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat