ABIM Dukung Penuh PM Laksana Penyasaran Subsidi Petrol RON95

PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyatakan sokongan terhadap langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 menerusi Program BUDI Madani RON95 (BUDI95).

Dalam kenyataan media pada Isnin, Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, mekanisme pengagihan subsidi perlu dilaksanakan dengan cekap dan teliti agar tidak menjejaskan golongan rentan.

“Subsidi petrol sememangnya menjadi nadi kepada mobiliti rakyat dan akses ekonomi, maka kerajaan perlu memastikan manfaatnya lebih dirasai oleh kelompok yang paling bergantung kepada bahan api ini termasuk golongan B40, pekerja gig, petani dan nelayan,” katanya.

Fahmi turut mengingatkan bahawa langkah penyasaran subsidi berpotensi menimbulkan kesan rantaian terhadap kos logistik, makanan asas dan pengangkutan awam.

Justeru, ABIM menekankan keperluan kerajaan menyediakan langkah mitigasi yang jelas.

Antaranya, penjimatan subsidi boleh digunakan untuk menyokong tambang awam dan menstabilkan kos sara hidup rakyat secara menyeluruh.

“ABIM turut mengingatkan bahawa dasar itu mesti dilaksanakan secara adil dan berperikemanusiaan termasuk terhadap pekerja migran sah yang turut menyumbang kepada kepada ekonomi negara,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, ABIM menggesa kerajaan memastikan semua sistem berfungsi dengan baik sebelum tarikh pelaksanaan bagi mengelakkan kekecohan di stesen minyak.

Tempoh percubaan yang lebih panjang di kawasan luar bandar juga disarankan.

“Kerajaan wajar memperkukuh penggunaan pendigitalan pintar dan integrasi data antara JPN, JPJ, Imigresen serta agensi berkaitan supaya kelayakan subsidi dapat disahkan secara automatik tanpa membebankan pengguna,” katanya.

Program BUDI95 yang diumumkan Perdana Menteri menetapkan harga subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter bermula 30 September, sebagai penghargaan kepada semua lapisan rakyat termasuk golongan M40 dan T20.

Anda Mungkin Berminat