KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan rundingan damai membabitkan Hamas dan Israel perlu disertai pemantauan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan keadilan dan keselamatan rakyat Palestin terjamin.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, berkata kesediaan Hamas membuka ruang rundingan bukan tanda kelemahan, sebaliknya mencerminkan kematangan politik kumpulan itu dalam usaha mencari penyelesaian adil selepas lebih tujuh dekad hidup di bawah penjajahan Israel.
Beliau berkata, langkah Hamas bersetuju membebaskan tahanan Israel, menyerahkan pentadbiran Gaza kepada kumpulan teknokrat Palestin berasaskan konsensus nasional, serta menerima rundingan melalui pengantara antarabangsa adalah bukti komitmen mereka terhadap keamanan sejagat.
“Namun, proses damai tidak boleh hanya bergantung kepada kenyataan politik semata-mata. Ia mesti disertai jaminan jelas serta kawalan antarabangsa bagi memastikan semua pihak dipertanggungjawabkan di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Ahmad Fahmi turut mengingatkan agar inisiatif damai tidak dijadikan sandiwara politik atau peluang mengejar pengiktirafan peribadi seperti anugerah Nobel Keamanan, sedangkan penderitaan rakyat Palestin masih berlanjutan.
Menurutnya, hak Palestin bukan bahan tawar-menawar atau modal politik mana-mana kuasa besar, sebaliknya perlu dihormati sebagai prinsip asas keadilan antarabangsa.
Beliau menegaskan, ABIM menolak pelan damai unilateral yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, kerana ia menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri.
“Bagi memastikan perkembangan positif ini berlangsung secara telus, ABIM menggesa agar misi pemerhati antarabangsa di bawah seliaan PBB segera dihantar ke lapangan bagi memastikan gencatan senjata dihormati dan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa sekatan,” katanya.
Pada masa sama, ABIM menggesa kerajaan Malaysia terus konsisten mempertahankan prinsip keadilan dan menolak sebarang pelan damai yang tidak memenuhi kepentingan serta hak rakyat Palestin.
Baca juga:








