PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) yang didakwa mewajarkan serangan Israel ke atas Gaza, sehingga menyebabkan ratusan nyawa orang awam, termasuk kanak-kanak terkorban.
Menurut Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, kenyataan AS yang mempertahankan tindakan Israel bukan sahaja bertentangan dengan prinsip moral dan kemanusiaan sejagat, malah seolah-olah memberi justifikasi kepada jenayah genosid yang sedang berlaku.
“Dengan angka kematian melebihi 700 orang, majoritinya kanak-kanak, tindakan AS ini seperti bersubahat secara langsung dengan jenayah kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu, ABIM menggesa masyarakat antarabangsa untuk mempertingkatkan tekanan ke atas Israel, termasuk mendesak badan-badan sukan antarabangsa menggantung penyertaan pasukan dan atlet negara itu dalam pertandingan global.
Katanya, tindakan mengecualikan penglibatan Israel dalam sukan dan aktiviti sosial adalah langkah penting bagi membuktikan komitmen antarabangsa terhadap hak asasi manusia.
“Sebagai contoh, pasukan bola sepak Israel masih dilaporkan aktif dalam pertandingan kelayakan Piala Dunia Zon Eropah walaupun kekejaman terhadap penduduk Gaza terus berleluasa tanpa sebarang tindakan politik yang jelas daripada pihak berkuasa global,” tambahnya.
Baca juga: