PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam keras tindakan rejim Israel menutup Masjid Al-Aqsa dan menghalang umat Islam daripada menunaikan ibadah khususnya pada penghujung Ramadan serta ketika sambutan Aidilfitri.
Dalam kenyataan medianya, Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, penutupan tersebut bukan sekadar isu keagamaan tetapi merupakan pencabulan nyata terhadap kebebasan beragama serta pelanggaran serius undang-undang antarabangsa dan prinsip asas kemanusiaan sejagat.
“Masjid Al-Aqsa adalah tapak suci umat Islam dan simbol maruah ummah.
“Menyekat akses ke atasnya bukan sekadar sekatan fizikal tetapi satu bentuk penafian hak yang sistematik terhadap kebebasan, identiti dan maruah rakyat Palestin,” tegasnya.
Beliau turut menyokong gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar pintu Masjid Al-Aqsa dibuka segera, sambil menyeru masyarakat antarabangsa mengambil tindakan lebih tegas dan berkesan.
Menurutnya, kegagalan komuniti antarabangsa untuk bertindak bukan lagi boleh ditafsir sebagai sikap berkecuali tetapi mencerminkan pembiaran terhadap pencabulan yang berlaku.
Ahmad Fahmi turut menekankan bahawa mempertahankan Masjid Al-Aqsa bukan hanya tanggungjawab umat Islam tetapi juga tanggungjawab semua pihak yang menjunjung nilai keadilan dan maruah kemanusiaan.
Beliau berkata, keadilan tidak boleh ditangguhkan dan kebebasan beribadah tidak boleh dikompromi.
Kepada umat Islam di Palestin yang menyambut Aidilfitri dalam keadaan penuh ujian dan sekatan, ABIM merakamkan solidariti yang tidak berbelah bahagi.
“Ketabahan dan keimanan kalian adalah lambang kekuatan yang tidak akan mampu dipadamkan oleh sebarang bentuk penindasan,” ujar Ahmad Fahmi.








