KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto untuk menggagalkan resolusi gencatan senjata serta-merta di Gaza
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, walaupun mendapat sokongan penuh 14 negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) namun ia tetap disekat oleh AS.
Katanya, tindakan AS itu mencerminkan sikap mementingkan politik lebih daripada keselamatan lebih dua juta penduduk Gaza.
“Tindakan ini menunjukkan keangkuhan dan keutamaan politik melebihi nyawa dua juta penduduk Gaza,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
AS mempertahankan vetonya dengan alasan resolusi tersebut tidak mengaitkan gencatan senjata dengan pembebasan tebusan.
Namun, ABIM menolak hujah itu, menyatakan alasan berkenaan tidak boleh dijadikan dalih untuk menangguhkan usaha menghentikan keganasan.
“Gencatan senjata perlu segera, bukan alat tawar-menawar,” tegasnya.
ABIM menegaskan keamanan sejati hanya boleh dicapai melalui keadilan, pematuhan undang-undang antarabangsa dan pengiktirafan hak rakyat Palestin.
“Tindakan Amerika terus melemahkan institusi antarabangsa dan menggalakkan jenayah perang,” katanya.
Sehubungan itu, ABIM menggesa gencatan senjata dilaksanakan serta-merta dan siasatan antarabangsa dilakukan terhadap jenayah perang Israel.
Selain itu, ia menyeru negara Islam dan Selatan Global agar bertindak tegas dengan menghentikan sokongan ketenteraan dan ekonomi terhadap Israel.
ABIM turut menegaskan komitmennya dalam menyokong usaha diplomatik Malaysia dan meningkatkan kesedaran awam bagi menuntut keadilan kepada Palestin.