KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan genosid yang berlaku di Darfur, Sudan, serta mendesak tindakan segera bagi menghentikan keganasan dilakukan kumpulan Rapid Support Forces (RSF).
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, berkata pihaknya amat bimbang dengan keadaan kemanusiaan di Al-Fashir, ibu kota Darfur Utara, yang kini menjadi lokasi pembunuhan beramai-ramai oleh RSF dan kumpulan sekutunya.
“Situasi di Darfur semakin genting. Penduduk awam menjadi sasaran tanpa belas kasihan, manakala dunia seolah-olah memilih untuk berdiam diri,”
“Ketiadaan wartawan antarabangsa di kawasan konflik memaksa penyelidik bergantung kepada imej satelit yang menunjukkan kesan serangan termasuk kebakaran penempatan awam dan tompokan besar darah di kawasan penduduk” katanya.
Menurut Pejabat Hak Asasi Manusia PBB dan Human Rights Watch, lebih 15,000 orang awam terbunuh sejak konflik memuncak pada 2023, manakala lebih 10 juta rakyat Sudan menjadi pelarian dalam dan luar negara.
“Jenayah yang berlaku ini memenuhi definisi genosid berdasarkan Konvensyen Genosid 1948. Komuniti Masalit dan etnik Afrika Darfur diserang hanya kerana identiti kaum mereka,” ujarnya.
Sehubungan itu, ABIM mendesak campur tangan segera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Afrika (AU) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menghentikan operasi RSF serta melindungi keselamatan penduduk awam.
“Komuniti antarabangsa tidak boleh lagi menjadi pemerhati pasif. Sekatan mesti dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menyalurkan dana, senjata atau bantuan ketenteraan kepada RSF,” katanya lagi.
ABIM turut menyeru supaya akses kemanusiaan tanpa sekatan diberikan kepada agensi bantuan, selain mendesak siasatan bebas di bawah Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk membawa pelaku ke muka pengadilan.
Baca juga:








