PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) tampil meminta kerajaan agar menangguhkan pelaksanaan had umur kepimpinan belia kepada 30 tahun, yang dijadual bermula 1 Januari 2026 seperti termaktub dalam pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668).
Menurut ABIM, pelaksanaan dasar itu berisiko menjejaskan kesinambungan kepimpinan belia, selain meminggirkan individu berpengalaman yang masih aktif menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
“Meminggirkan penyertaan atas faktor umur akan mengganggu ekosistem pemberdayaan masyarakat yang sedia ada,” kata Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.
Beliau turut membangkitkan isu ketidakseragaman pelaksanaan di peringkat negeri khususnya di Sarawak serta kelemahan penguatkuasaan apabila pertubuhan yang tidak berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) masih bebas menggunakan istilah ‘belia’.
“Jika benar had umur 30 tahun dijadikan garis pemisah, maka semua jawatan berkaitan belia dalam KBS juga wajar diisi individu bawah usia itu,” katanya, sambil mencabar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menunjukkan teladan dan konsistensi dasar.
Sebagai langkah penyelesaian, Ahmad Fahmi mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan mekanisme peralihan bertahap serta pengecualian bersasar kepada pertubuhan belia yang aktif khususnya di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi mengelakkan gangguan terhadap program pembangunan belia yang sedang berjalan.
Katanya, dasar had umur yang diluluskan Parlimen pada 2019, namun tidak mendapat sokongan majoriti pertubuhan belia.
Tambah beliau, ia terus dipertikai kerana dianggap tidak mencerminkan realiti semasa, malah dilihat menyulitkan pertumbuhan kepimpinan akar umbi yang sedang berkembang.








