KUALA LUMPUR: Kejayaan diplomatik Malaysia dalam memastikan keselamatan dan kepulangan 23 aktivis kemanusiaan yang ditahan oleh rejim Zionis Israel telah mendapat pujian tinggi daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), yang menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai manifestasi kepimpinan moral dan keberanian berprinsip.
Kesemua aktivis terbabit merupakan peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, yang ditahan secara paksa ketika cuba menyalurkan bantuan kemanusiaan ke wilayah bergolak itu.
Mereka telah selamat tiba di Istanbul, Türkiye, hasil rundingan diplomatik berlapis yang dikendalikan oleh kerajaan Malaysia bersama negara-negara sahabat.
“Kejayaan diplomasi ini membuktikan pendekatan berprinsip yang berteraskan nilai Madani mampu mengimbangi tuntutan kemanusiaan dan keselamatan nasional dengan penuh wibawa,” kata Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.
Beliau berkata, tindakan Perdana Menteri bukan sahaja menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia, tetapi turut memperkukuh imej negara sebagai pemain moral yang tegas di pentas antarabangsa.
“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh solidariti antarabangsa tetapi turut memperlihatkan kepimpinan moral Malaysia dalam mempertahankan kemanusiaan sejagat dan undang-undang antarabangsa,” katanya.
ABIM turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Türkiye, pihak berkuasa antarabangsa serta badan kemanusiaan yang telah memainkan peranan penting dalam proses menyelamat termasuk menyediakan rawatan kesihatan dan sokongan psikologi kepada para aktivis sebaik mereka tiba di Istanbul.
Dalam masa sama, ABIM menyeru agar usaha diplomasi Perdana Menteri diteruskan bagi membebaskan baki aktivis antarabangsa yang masih ditahan oleh Israel, sambil menegaskan bahawa tumpuan terhadap rakyat Gaza tidak akan berkurang.
“Malaysia bukan sekadar melindungi rakyatnya, tetapi turut memainkan peranan sebagai suara moral di pentas antarabangsa dalam menegakkan keadilan dan solidariti terhadap penindasan di Palestin,” katanya lagi.








