KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memuji peranan aktif dan berprinsip yang dimainkan oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam merintis kestabilan serantau, susulan kejayaan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, kejayaan rundingan itu menjadi bukti bahawa ASEAN kekal relevan serta menyerlahkan kemampuan Malaysia menyatukan kuasa politik serantau dengan sokongan Amerika Syarikat dan China.
“Malaysia bukan sahaja menjadi hos kepada Mesyuarat Khas Thailand–Kemboja, malah berjaya menjadi pemudah cara penting dalam meredakan ketegangan yang telah meragut nyawa dan mengganggu kestabilan serantau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Fahmi turut menggesa semua pihak agar menghormati sepenuhnya perjanjian gencatan senjata yang dijadual berkuat kuasa tengah malam ini dan menghentikan segala bentuk provokasi bersenjata.
“ABIM mencadangkan agar ASEAN menubuhkan pasukan pemantau bebas untuk memastikan pelaksanaan perjanjian berjalan lancar, di samping menyarankan bantuan kemanusiaan disalurkan segera kepada mangsa yang terkesan.
“ABIM juga menyeru rakyat Thailand dan Kemboja agar mengekang penyebaran provokasi serta naratif kebencian di media sosial demi keharmonian serantau,” katanya.
Sebagai gerakan masyarakat madani, beliau menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan masyarakat sivil ASEAN dalam membudayakan keamanan termasuk mencadangkan penganjuran Sidang Masyarakat Madani dan Program Pendidikan Keamanan ASEAN.