Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengesahkan tular berita pengislaman seorang lelaki yang terselamat ketika tragedi tanah jerlus di Masjid India pada 23 Ogos lalu.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pengislaman lelaki warga Malaysia berketurunan India dan beragama Hindu itu di bawah kelolaan Islamic Outreach ABIM (IOS) Centre di Masjid Negara pada 27 Ogos lalu.
“ABIM mengesahkan bahawa saudara baru tersebut memeluk Islam di bawah kelolaan IOA Masjid Negara pada hari Isnin lalu.
“ABIM memohon agar semua pihak memberi ruang kepada saudara baru ini bertenang, menghormati privasi dan mendoakan kebaikan beliau,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, tular di media sosial gambar seorang lelaki bernama Kandass, didakwa salah seorang yang terselamat dalam kejadian tanah jerlus di Masjid India memeluk Islam.
Difahamkan, lelaki itu berusia 48 tahun datang ke pejabat ABIM bersama dua orang kawannya beberapa hari selepas kejadian.
Menurut Fahmi, setelah mengalami peristiwa yang mengerikan itu, Kandass merasakan satu perubahan besar dalam hatinya di mana beliau yakin bahawa Allah telah menyelamatkannya dari kejadian yang boleh meragut nyawa itu.
“ABIM menegaskan bahawa sesungguhnya, mempunyai agama adalah hak dan fitrah semulajadi manusia. Justeru, sudah semestinya tidak siapapun boleh memaksa atau dipaksa dalam perkara beragama.
“ABIM mengajak semua umat Islam untuk terus menyebarkan keindahan Islam, selanjutnya meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.
“Dalam masa sama, ABIM juga mendoakan agar operasi pencarian mangsa tanah jerlus di Masjid India dipermudahkan, dan menzahirkan rasa simpati buat keluarga mangsa,” katanya.