ABIM Seru Masjid Wajib Ada AED Selamatkan Nyawa

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa agar semua masjid di negara ini dilengkapi mesin Automated External Defibrillator (AED) bagi meningkatkan kadar keselamatan jemaah terutama warga emas yang berisiko mengalami serangan jantung mengejut.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, langkah itu seiring sambutan FIMA Lifesavers Day yang diraikan pada Sabtu terakhir September setiap tahun, bagi meningkatkan kesedaran bahawa menyelamatkan satu nyawa adalah seumpama menyelamatkan seluruh umat manusia.

“Masjid bukan sahaja pusat ibadah, malah menjadi pusat komuniti. Kehadiran AED mampu meningkatkan peluang kelangsungan hidup mangsa sebelum rawatan diperoleh di hospital,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Hospital Pakar Al-Islam (HPAI) selaku penggerak utama FIMA Lifesavers Day di Malaysia setiap tahun turut menganjurkan program di Masjid Negara merangkumi derma darah, pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah serta aktiviti interaktif CPR dan penggunaan AED.

Menurut Ahmad Fahmi, kajian antarabangsa menunjukkan peluang hidup mangsa serangan jantung boleh meningkat sehingga 70 peratus jika CPR diberikan segera oleh orang awam, disusuli penggunaan AED dalam beberapa minit pertama.

“Sebaliknya, tanpa sebarang tindakan awal, kadar kematian meningkat dengan cepat kerana setiap satu minit kelewatan mengurangkan peluang hidup sekitar tujuh hingga 10 peratus,” katanya.

ABIM turut menggesa syarikat korporat menjadikan penajaan AED, latihan CPR serta kempen kesedaran kesihatan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

“Dengan adanya sokongan CSR dan kesedaran awam, setiap ahli kariah masjid akan lebih bersedia menghadapi insiden kecemasan tanpa panik, sebaliknya bertindak segera sebelum ketibaan paramedik,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat