PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan pemisahan kuasa antara jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, satu langkah yang dilihat sebagai teras penting dalam agenda reformasi institusi negara.
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, menyifatkan cadangan itu sebagai anjakan besar ke arah memperkukuh prinsip keadilan dan memastikan proses undang-undang bebas daripada sebarang pengaruh politik.
“Dengan adanya pemisahan ini, kebebasan badan kehakiman akan lebih terjamin, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, rakyat berhak menyaksikan perjalanan undang-undang yang telus, adil dan bebas daripada konflik kepentingan.
Justeru, katanya, cadangan ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.
Ahmad Fahmi berkata, usaha ini selari dengan komitmen kerajaan untuk memperkukuh institusi negara, mengangkat integriti sistem perundangan serta meletakkan prinsip keadilan sebagai asas utama dalam tata kelola negara.
Sehubungan itu katanya, ABIM menyeru semua parti politik dan pertubuhan masyarakat sivil agar memberikan sokongan padu terhadap pindaan dan proses perundangan yang berkaitan.
“Reformasi ini hanya akan berjaya dengan iltizam bersama demi masa depan negara yang lebih telus, adil dan berwibawa,” tegas beliau.
Sebagai rekod, cadangan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya telah lama disuarakan oleh pelbagai pihak termasuk badan masyarakat sivil, sebagai langkah penting untuk memperkukuh kebebasan institusi kehakiman dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.








