ABIM Tuntut Henti Segera Kekejaman di Gaza

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa agar pembunuhan berterusan di Gaza dihentikan serta-merta dan menyifatkan cadangan gencatan senjata 60 hari Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump sebagai tidak mencukupi untuk meredakan penderitaan rakyat Palestin.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, cadangan tersebut hanyalah penangguhan sementara kepada kematian dan tidak membawa penyelesaian yang tuntas.

“Gencatan senjata sementara hanya menjadi ruang rehat kepada kematian, bukan penyelesaian kepada penderitaan yang berlarutan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, konflik di Gaza bukan sekadar pertempuran ketenteraan, sebaliknya suatu bentuk kezaliman sistematik yang berterusan terhadap rakyat Palestin.

“Situasi di Gaza bukan semata-mata konflik ketenteraan tetapi satu bentuk kezaliman berterusan terhadap rakyat Palestin,” tegasnya.

ABIM juga mengecam kekejaman rejim Zionis yang didakwa menyasarkan wanita, kanak-kanak dan orang awam, sambil menyatakan kekesalan terhadap sikap pasif masyarakat antarabangsa.

“Rejim Zionis tidak pernah menunjukkan komitmen ikhlas untuk menghentikan serangan.

“Sebaliknya, mereka terus melancarkan tindakan terancang yang boleh disifatkan sebagai genosid,” katanya.

Sebagai langkah mendesak, ABIM menggariskan enam tuntutan utama termasuk penghentian perang secara total, pengunduran tentera Israel dari Gaza tanpa syarat dan penamatan sekatan ke atas Gaza.

Selain itu, katanya, adalah penghentian penempatan haram di Tebing Barat, pembebasan semua tahanan Palestin dan pelaksanaan sekatan senjata terhadap Israel.

ABIM turut menggesa pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta para pemimpin dunia agar bertindak lebih tegas dan konsisten dalam menangani kekejaman yang berlaku.

“ABIM akan terus bersolidariti bersama rakyat Palestin dan berdiri teguh dengan semua pihak yang memperjuangkan keadilan serta kemanusiaan sejagat,” katanya.

Anda Mungkin Berminat