PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan bahawa keadilan dan adab mesti menjadi teras dalam menangani kes kematian tragis Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, sambil menyeru agar persekitaran sekolah di Malaysia diperkukuh agar bebas daripada budaya buli dan penderaan.
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin menyuarakan kebimbangan terhadap penyebaran berita palsu dan serangan peribadi yang dilihat mengganggu proses siasatan serta mencetus kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Biarlah undang-undang menentukan kesalahan. Jika melibatkan pelajar bawah umur, pendekatan kaunseling dan pemulihan lebih wajar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut menggesa agar isu ini tidak dijadikan modal politik dan sebarang gesaan seperti mendesak Menteri Pendidikan meletak jawatan perlu dilihat secara berhemah.
Fokus utama, menurutnya adalah memastikan siasatan dijalankan secara telus dan bebas daripada tekanan luar.
Mengulas dari sudut perundangan, Ahmad Fahmi berkata, Akta Kanak-Kanak 2001 memberi penekanan kepada perlindungan dan kepentingan terbaik kanak-kanak.
Oleh itu, katanya, pendekatan menghukum perlu disertai dengan bimbingan dan sokongan yang membina.
Beliau turut menyeru masyarakat agar tidak membuat tuduhan terburu-buru, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan adil.
Kata Ahmad Fahmi, sebagai langkah sokongan, ABIM menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Rahmah Support Team (RST) bagi menyediakan sokongan emosi, pendidikan adab dan bimbingan moral kepada komuniti sekolah yang terkesan.
Akhir sekali, beliau menyeru semua pihak agar mengamalkan nilai adab, menolak budaya buli dan mengurus isu ini dengan hikmah demi keadilan serta masa depan anak-anak Malaysia.