Abu Bakar Jalan Tugas Hakim Besar Malaya Sementara Tunggu Pengisian Jawatan

PETALING JAYA: Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais, dilantik untuk menjalankan kuasa dan tugas Hakim Besar Malaya berkuat kuasa Sabtu lalu, sehingga jawatan ketiga tertinggi dalam badan kehakiman itu diisi secara rasmi.

Menurut laporan media tempatan, pelantikan itu dibuat susulan persaraan wajib Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang mencapai usia 66 tahun pada tarikh sama.

Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, pelantikan Abu Bakar dibuat mengikut Seksyen 9(3)(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Saya dengan ini melantik Yang Amat Arif (YAA) Datuk untuk menjalankan kuasa dan tugas Hakim Besar Malaya mulai 15 November 2025 sehingga jawatan tersebut diisi secara hakiki,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Hasnah, yang bersara Jumaat lalu selepas 42 tahun berkhidmat dalam badan kehakiman, dilahirkan pada 15 Mei 1959 di Kuantan, Pahang.

Beliau memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada 1 Ogos 1983 sebagai Penasihat Undang-Undang merangkap Peguam Kanan Persekutuan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau turut berkhidmat di Kementerian Telekomunikasi dan Pos serta Kementerian Kerja Raya, selain menjadi pegawai wanita pertama dilantik sebagai Penolong Penasihat Undang-Undang di Selangor.

Pada 1994, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Sesyen di Selangor sebelum berpindah ke Kuala Lumpur.

Anda Mungkin Berminat