KUALA LUMPUR: Penganjuran acara pertandingan ratu dan jejaka selebriti peringkat antarabangsa yang tular baru-baru ini di Sentul disahkan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mahu pun Tourism Malaysia.
Menurut Tourism Malaysia, pihak penganjur didapati telah menggunakan logo korporat Tourism Malaysia serta logo kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) tanpa mendapatkan kebenaran bertulis rasmi daripada agensi berkenaan.
“MOTAC dan Tourism Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi, tafsiran awam atau liabiliti yang timbul daripada penganjuran acara tersebut, termasuk penggunaan logo tanpa kebenaran,” menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Jumaat.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak penganjur bagi melindungi hak harta intelek, integriti jenama serta identiti korporat rasmi negara.
Sebelum ini, acara berkenaan mencetuskan perhatian warganet selepas tular di media sosial rakaman dan gambar memaparkan seorang lelaki berpakaian gaun wanita menerima sijil penghargaan dalam pertandingan tersebut, sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai.
Malahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan memandang serius kerana ia melibatkan seorang lelaki warganegara tempatan yang berpakaian menyerupai wanita ketika menghadiri sebuah majlis bertaraf antarabangsa.
Beliau turut mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk menjalankan siasatan lanjut dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Baca juga:








