IPOH: Ketua Angkatan Muda HARAPAN (AMH), Woo Kah Leong, menempelak pembangkang Perak kerana terlalu sibuk merancang rampasan kuasa, sedangkan rakyat masih bergelut dengan kesan krisis global.
Beliau menegaskan pembangkang gagal tampil dengan cadangan konstruktif bagi membantu rakyat.
“Tak pernah mengusulkan cadangan konstruktif, tak pernah berikhtiar untuk membantu rakyat, tak pernah berhenti untuk memikirkan rampasan kuasa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Woo menambah, sikap pembangkang yang hanya fokus pada kuasa politik menunjukkan betapa mereka tidak relevan dalam menangani isu rakyat.

Beliau turut menempelak kelemahan dalaman parti yang gagal menukar Ketua Pembangkang Parlimen dan hanya mampu menggantikan Pengerusi Perikatan Nasional selepas berbulan-bulan.
“Dahlah tidak mampu untuk menukarkan Ketua Pembangkang Parlimen sehingga kini, kini pula sibuk berbicara soal mentadbir negeri,” katanya lagi.
Menurut Woo, pembangkang seolah-olah lebih gemar berpolitik untuk kepentingan sendiri daripada menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.
Beliau menasihatkan mereka supaya fokus kepada urusan dalaman negeri sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
“Daripada sibuk memikirkan untuk merampas kuasa ketika seluruh dunia sedang menghadapi krisis, lebih baik pembangkang Perak mengendalikan urusan rumah sendiri,” ujarnya.
Woo turut menyindir transformasi parti pembangkang yang gagal menunjukkan kestabilan.
“Dari BERSATU kepada BERPECAH, dan Perikatan Nasional pun sudah menjadi PAS Nasional.
“Memang sah pembangkang yang paling tidak berguna dalam sejarah,” katanya.
Woo menyeru pembangkang untuk berhenti bermain politik kotor dan memberi tumpuan kepada cadangan yang mampu meringankan beban rakyat.
Baca juga:








