PETALING JAYA: Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan pelantikan Adam Adli Abd Halim sebagai Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka, berkuat kuasa 15 Disember 2025.
Pelantikan itu menyaksikan Adam Adli, yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Pengerusi MPN Melaka, mengambil alih tugas daripada Datuk Seri Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd Akin.
Keputusan tersebut disampaikan melalui kenyataan media oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, pada Selasa.
Menurut beliau, langkah itu diambil bagi memastikan kelangsungan dan kelancaran pengurusan parti di peringkat negeri.
“Adam Adli akan memangku tugas sebagai Pengerusi MPN Melaka berkuat kuasa 15 Disember 2025,” katanya.
Dalam masa sama, jawatan Shamsul Iskandar sebagai Ketua Cabang Hang Tuah Jaya kekal dan tidak terjejas dengan keputusan berkenaan.
PKR turut menegaskan keyakinan terhadap kemampuan Adam Adli untuk memikul amanah tersebut, sekali gus memperkukuh gerak kerja parti di Melaka.








