MELAKA: Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Keroh hari ini menerima penyerahan ‘mock cheque’ bagi pembinaan sebuah Dewan Terbuka bernilai RM1 juta, sekali gus merealisasikan hasrat warga sekolah sejak 27 tahun lalu.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli berkata, dewan terbuka ini merupakan keperluan utama yang telah lama dinantikan warga sekolah sejak penubuhan SK Ayer Keroh pada 1999.
“Guru Besar memaklumkan bahawa ini antara keperluan utama yang lama diharapkan oleh warga sekolah. Saya sambut perkara ini sebagai amanah dan ambil tanggungjawab untuk kita sama-sama jayakan.
“Projek pembinaan dijangka bermula pada Julai 2026 dan bakal dimanfaatkan oleh 848 pelajar, 70 guru, serta lima kakitangan sekolah.
“Dewan ini akan digunakan untuk pelbagai aktiviti termasuk perhimpunan, kokurikulum, sukan, program kebudayaan serta penglibatan komuniti setempat” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Adam Adli menekankan komitmennya terhadap pendidikan di Parlimen Hang Tuah Jaya.
“Pendidikan di Hang Tuah Jaya bukan kerja bermusim. Ini keutamaan yang saya pegang dengan 100 peratus komitmen.
“Kita mahu anak-anak belajar dalam persekitaran yang lebih baik, dan guru-guru dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sokongan prasarana yang wajar,” ujarnya.
Beliau turut merujuk data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan Melaka Tengah mempunyai 24.1 peratus penduduk berumur 0–14 tahun, tertinggi dalam negeri.
“Pelaburan dalam sekolah dan kemudahan asas bukan pilihan, tetapi satu keperluan. Asas ini membentuk keyakinan, disiplin dan ilmu anak-anak untuk melangkah lebih jauh, termasuk ke universiti kelak,” tambahnya.
Baca juga:








