Adam Adli teruskan kembara jumpa orang muda 2.0 di Perak

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim meneruskan program Kembara Jumpa Orang Muda 2.0 bagi Zon Tengah yang akan berlangsung di Gugusan Felda Gunung Besout, Sungkai, Perak mulai 31 Oktober hingga 2 November ini.

Menurut Adam, kembara itu memberi peluang kepada kerajaan mendekati golongan belia secara langsung, selain memahami isu dan keperluan mereka di peringkat akar umbi.

“Kita bukan sekadar datang menjenguk, tetapi untuk mendengar, memahami dan yang paling penting membina masa depan bersama-sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti akan dijalankan termasuk sesi ramah mesra, perbincangan santai, program keluarga angkat bersama komuniti tempatan dan lawatan ke kawasan kampung.

Turut serta ialah agensi-agensi kerajaan berkaitan yang akan menyertai aktiviti komuniti bersama anak muda dari Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Kemuncak program akan berlangsung pada 2 November menerusi Sesi Townhall dan Mini Karnival, yang dijangka menarik penyertaan ramai golongan belia sekitar Perak.

Adam berkata pendekatan turun padang itu penting bagi memastikan dasar dan inisiatif kerajaan benar-benar sampai serta difahami oleh golongan sasaran.

Program Kembara Jumpa Orang Muda 2.0 sebelum ini telah dilaksanakan di Zon Utara, Zon Timur dan Zon Borneo sebagai platform mendengar suara anak muda serta memperkukuh hubungan antara kerajaan dan komuniti belia di seluruh negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat